Tuesday 3 January 2012

Pengenalan

RIWAYAT PENGASAS SEKOLAH


Magdalene of Canossa dilahirkan di Verona, Italy pada 1 Mac 1774. Beliau dari keluarga yang sangat kaya. Bapanya telah meninggal dunia pada masa beliau kecil lagi dan ibunya meninggalkan anak-anaknya untuk berkahwin lagi. Adik beradiknya dijaga oleh  seorang pembantu rumah.

Oleh kerana hidup sengsara, beliau berazam untuk menyerahkan dirinya kepada Tuhan dengan menolong orang-orang fakir  miskin. Dalam tahun 1801, beliau meninggalkan rumahnya yang tersergam indah untuk membuka sebuah rumah bagi melindungi budak-budak perempuan yang miskin, di mana mereka diajar pelajaran 3M (Membaca, Mengira, Menulis) .

Dengan  perlahan-lahan, kerja kebajikannya itu memutar keseluruhan dunia. Beliau meninggal dunia pada 10 April 1835. Sekarang telah ada kira-kira 4000 Canossian Sisters di seluruh dunia. Di Malaysia, kita ada sekolah menengah dan rendah di Melaka, Kluang dan Segamat serta pusat kebajikan di Jinjang dan Sungai Siput.



SEJARAH SEKOLAH

Pada tahun 1949, Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Almarhum Sultan Ibrahim telah mengkhairatkan 25 ekar tanah milik baginda sendiri  di Kluang kepada Institut Canossian untuk kegiatan kebajikan dan pelajaran mereka.

            Batu asas yang pertama telah didirikan pada 3.3.1950 oleh H.E. MONS. M. Olcomendy dari Singapura. Dalam tempoh masa satu tahun, sekolah ini siap dibina. Pada Januari 1951, sekolah dibuka. Pelajaran dimulakan dalam aliran Bahasa Inggeris. Lebih kurang 300 orang murid berada di Sekolah Rendah Kebangsaan Canossian Convent.

            Sekolah Menengah CAnossian Convent bermula pada bulan Januari 1954 dan kumpulan pertama calon Peperiksaan Senior Cambridge mengambil peperiksaan itu pada bulan Disember 1958.

            Dengan pertolongan tentera British yang bertempat di Kluang, padang sukan diratakan untuk digunakan. Pada 5 Disember 1956, hari sukan  yang pertama, perasmian padang sukan dilangsungkan.

            Sekolah Menengah Canossian Convent telah menggunakan bilik darjah Sekolah Rendah Canossian Convent untuk menjalankan pembelajaran hingga tahun 1960. Pada masa itu juga Institut Canossian sedang membelanjakan RM 250,000.00 untuk projek mendirikan Sekolah Menengah (RM 23,000 dari bantuan Kerajaan). Sekolah Menengah mempunyai 11 bilik darjah, sebuah makmal besar lengkap dengan alat-alat dan dua buah Bilik Sains Rumahtangga dengan bahan dan peralatan.

            Pada tahun 1973, padang sekolah diperbesarkan dan diratakan dengan bantuan Skuandron Jurutera ke 4 di Kluang untuk aktiviti olahraga. Pada tahun berikutnya pembukaan rasmi padang sekolah telah dilakukan oleh Tuan Pegawai Daerah Kluang. Majlis ini telah dihadiri oleh Tuan Pengelola sekolah-sekolah daerah serta pegawai-pegawai tentera.

            Pada tahun 1977, sebuah makmal sains dibina dengan kos RM 41,000. Disebabkan kekurangan tempat, permohonan kepada kerajaan untuk mendapatkan peruntukkan bagi pembinaan dibuat. Pada tahun 1981, peruntukkan bernilai RM 30,000 diberi untuk membina 3 bilik darjah yang kosnya bernilai RM 36,000. RM 6,000 pula dibayar  oleh kedai buku sekolah.

            Pada tahun 1983, sebuah dewan yang besar dan sempurna siap dibina dengan perbelanjaan sebanyak RM 300,000 dan kerajaan telah memberi bantuan sebanyak RM 50,000. Pertandingan badminton di antara sekolah-sekolah daerah Kluang dan di antara sekolah-sekolah negeri Johor sering dilangsungkan di dewan ini.

            Sebenarnya, sekolah ini adalah separuh kerajaan. Jadi semua undang-undang dan peraturan di sekolah ini digubal oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Johor serta pertolongan daripada Persatuan Ibubapa, Guru dan Jemaah Pengelola sekolah ini.

            Pada tahun 1989, sekolah ini telah membina sebanyak 8 buah bilik darjah, bilik Bimbingan, stor skim pinjaman buku teks, stor sukan dan stor pejabat dengan perbelanjaan sebanyak RM 189,000. Sumbangan ini adalah daripada Walkathon,  Yang Berhormat- Yang Berhormat, ibubapa, bekas pelajar, guru-guru dan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Canossian Convent.

Melalui aktiviti kutipan Walkathon tahun 2006 (PIBG ), sekolah telah membina 2 buah kelas tambahan, pembelian 40 set meja kerusi, menaik taraf bilik komputer dan membina laluan berbumbung.
Pada tahun 2008 dan 2009 sekolah memperolehi sumbangan laptop sebanyak 2 unit (Perkhidmatan & Persatuan BT) oleh MIC, 3 unit (Kewangan, HEM dan Pentadbiran) Oleh En Tan Tong Heng, 1 unit  (Peperiksaan) oleh Lembaga Pengelola Sekolah dan 1 unit untuk  Panitia Sejarah oleh PIBG.   
        Pada tahun 2009, sekolah telah mendapat Pakej Rangsangan Ekonomi (Sek Mubaligh). Pakej 1 bernilai RM 55 000 digunakan untuk membina pondok pengawal, penyelenggaraan anai-anai, naik taraf makmal, membekal 120 set meja dan kerusi pelajar, guru dan kabinet fail pejabat. Manakala Pakej 2 bernilai RM 55 000 untuk mengecat dewan dan bangunan sekolah.